Berita Utama

Sambutan Hari Kebangsaan disiar di semua saluran televisyen utama

Ia selaras dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama

KUALA LUMPUR, 29 Muharam 1444H, Sabtu – Sambutan Hari Kebangsaan akan disiarkan secara langsung menerusi semua stesen televisyen utama negara bagi memberi peluang kepada Keluarga Malaysia yang tidak dapat hadir ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek berkata perkara itu adalah selaras dengan tema hari kebangsaan iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” yang berteraskan tiga tunjang utama iaitu kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran.

Menurutnya, sambutan pada tahun ini melibatkan penyertaan terbesar iaitu seramai 18,000 peserta membabitkan pelbagai kontinjen perbarisan antaranya daripada 27 kementerian dan pelbagai badan korporat dalam negara.

“Bila kita bercakap mengenai keterangkuman dan kebersamaan sudah pasti kita harapkan penglibatan pelbagai pihak dari kerajaan termasuk agensi swasta sendiri yang turut terlibat dalam acara ini.

Kita tampilkan juga pelbagai aset negara. Sejumlah hampir 300 aset negara yang akan terlibat yang kita jangkakan akan dapat menarik perhatian orang ramai dan pelbagai aset kita sediakan,” katanya dalam program wawancara Agenda Awani terbitan Astro Awani.

Berkongsi hasil tinjauan persiapan di Dataran Merdeka semalam, Mohammad yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata ia sudah mencapai kemajuan 80 peratus.

Beliau turut menyeru supaya orang ramai hadir bagi memeriahkan acara itu setelah dua tahun negara tidak menyambut hari kebangsaan dalam skala yang besar berikutan pandemik COVID-19.

“Harapan saya agar setiap warga kota dan mereka yang tinggal berhampiran Lembah Klang datanglah beramai-ramai ke Dataran Merdeka, dan diharapkan agar dapat menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan keluarga Malaysia dengan menonton sendiri perarakan, persembahan, dan pencapaian yang telahpun kita lakukan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button