Berita Utama

Tiada parti besar atau adik kecil dalam PN: Muhyiddin

Sedia tubuh jawatankuasa kaji cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik

SERDANG, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Tiada parti besar atau parti adik kecil dalam Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan menerusi beberapa gabungan pada 2020, sebaliknya semua parti adalah sama dan menerima layanan sama rata.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang keputusan yang hendak dibuat mesti melalui proses musyawarah dalam Majlis Tertinggi PN yang setiap parti mempunyai wakil di dalamnya dan bebas untuk bersuara serta memberikan pandangan.

“Tidak ada mana-mana parti yang boleh memaksa pandangannya diterima oleh parti-parti lain. Perpaduan ini hendaklah dibina di atas perkongsian prinsip perjuangan yang sama dan rasa hormat-menghormati antara parti-parti anggota,” katanya pada ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di sini hari ini.

PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN bersedia menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti.

Muhyiddin juga mahu subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti menjadi agenda utama PN untuk dibahas dengan lebih lanjut pada konvensyen hari ini dan seterusnya mengemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi PN serta diambil tindakan susulan.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan beliau telah meminta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad supaya menggubal buku etika ahli Bersatu sebagai buku rujukan setiap ahli mengenai panduan etika dan moral.

“Walaupun kami telah ada kod etika ahli, buku ini akan memperincikan setiap kod etika itu dari segi hubung kaitnya dengan nilai agama dan moral yang mesti dijadikan panduan oleh setiap ahli,” katanya.

Dalam majlis itu, Muhyiddin menyampaikan Anugerah Prihatin PN kepada lima penerima termasuk sebuah rumah ibadat bukan Islam atas sumbangan dan keprihatinan luar biasa mereka kepada masyarakat.

Antara penerima anugerah itu adalah Dr S Madhusudhan, 40 atau lebih dikenali sebagai Dr Teddy Bear yang membuka klinik percuma buat gelandangan dan golongan rentan sekitar Lembah Klang sejak 2015 serta Gurdwara Sahib Petaling Jaya yang menyediakan makanan halal secara percuma kepada mangsa banjir di Lembah Klang hujung tahun lepas.

Muhyiddin kemudiannya bersama-sama pimpinan tertinggi PN memotong pulut kuning dan kek sempena sambutan ulang tahun kedua PN. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button