Berita Utama

UMNO ulangi pendirian parti adakan PRU15 segera

'Pendirian kita konsisten sejak awal lagi': Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi mengulangi pendirian parti supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

“Pendirian kita konsisten sejak awal lagi. Jadi janganlah ada pula suara di antara kita sendiri, yang mula menuduh kita gopoh mahukan pilihan raya. Kita tegas dalam perkara ini.

“Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad) Hassan. Ini suara dan keputusan Majlis Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat khas Presiden UMNO yang dihadiri ribuan pemimpin dan ahli parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini, dan ucapan beliau turut diikuti hadirin di dua lagi dewan di WTC itu.

Ahmad Zahid berkata UMNO konsisten menuntut pilihan raya diadakan kerana menghormati mandat rakyat, juga mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat, dan bukannnya melalui percaturan politik.

“Sehubungan itu, kembali kepada rakyat merupakan jawapan bagi memastikan Barisan Nasional, memperolehi mandat baharu dan mutlak daripada rakyat, dan dengan mandat itu insya-Allah, kita akan mengembalikan semula kestabilan dan kemakmuran seperti yang pernah dikecapi sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang terjadi kepada bekas presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya menyatukan semua ahli dan bukan memecahkan, dan beliau menyeru semua ahli untuk bersatu sebagai sebuah keluarga besar.

“Jangan ada kluster-kluster. Kita hanya ada satu kluster, kluster UMNO. Ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata kesatuan dan perpaduan dalaman parti perlu terus dimantapkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum PRU15, yang dakwanya akan menjadi medan untuk parti menoktahkan politik kebencian, dendam dan ugutan.

Terdahulu, taklimat itu bermula dengan siri penjelasan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Zaid Ibrahim serta Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, mengenai Najib.

Selain itu, dua anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar dan Nooryana Najwa turut diundang ke pentas bagi memberi ucapan. Turut hadir, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button