Berita Utama

Terengganu cuti peristiwa 11 September

Beri keselesaan perjalanan pulang penyokong TFC

KUALA TERENGGANU, 30 Muharam, 1444H, Ahad – Kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa bagi seluruh Terengganu pada 11 September depan sempena perlawanan akhir Piala FA, pertemuan membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti berkenaan bagi memberi keselesaan perjalanan pulang selain memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di jalan raya.

“Kerajaan negeri berharap para penyokong Terengganu FC agar dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya. Sentiasa menunjukkan akhlak dan adab yang baik sebagai rakyat Terengganu ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

“Bagi memastikan penyokong TFC tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan 11 September iaitu Ahad sebagai cuti peristiwa bagi negeri ini.

“Susun atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut berharap pemain TFC memberikan fokus dan aksi terbaik sekali gus merealisasikan harapan untuk membawa pulang Piala FA ke negeri berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button