Dunia

Korban banjir dahsyat di Pakistan cecah 1,033

Kerajaan isytihar kecemasan negara, usaha dapatkan bantuan

ISLAMABAD, 30 Muharram 1444H, Ahad – Angka kematian akibat banjir monsun di Pakistan sejak Jun kini mencecah 1,033 orang, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

Dilaporkan, 119 orang maut dalam tempoh 24 jam sebelum ini ketika hujan lebat terus melanda beberapa bahagian negara.

Monsun tahunan adalah tempoh penting untuk menyalurkan air ke tanaman, tasik dan empangan di seluruh benua kecil India, tetapi setiap tahun ia juga membawa gelombang kemusnahan.

Pihak berkuasa berkata, banjir monsun tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta orang – satu daripada tujuh rakyat Pakistan – memusnahkan atau merosakkan hampir sejuta rumah.

NDMA berkata, lebih daripada dua juta ekar tanaman dan 3,451 kilometer jalan raya telah musnah, sementara 149 jambatan hanyut.

Sebahagian besar negara tenggelam – terutama wilayah Balochistan, KP dan Sindh – di mana sekurang-kurangnya 347 maut di Sindh, diikuti Balochistan (238) dan KP (226).

Sementara itu, kerajaan mengisytiharkan banjir dahsyat berkenaan sebagai ‘kecemasan negara’ dan sedang berusaha mendapatkan bantuan dari negara-negara diplomatik.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button