Berita Utama

‘Lepas curi berbilion, rakyat tentu kecewa jika Najib dibebaskan’

Banyak bukti telah dikemuka di mahkamah sepanjang empat tahun ini

BANGI, 30 Muharam, 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui memang ada orang yang berkuasa boleh membebaskan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pembebasan bekas Perdana Menteri itu bukanlah perkara mustahil kerana masih mempunyai peluang melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Sama ada nak bebaskan Najib, itu terpulang kepada dialah, bukan saya yang tentukan. Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa saja keputusan,” katanya.

Pun begitu, Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, rakyat akan kecewa jika Najib yang dihukum penjara atas kesalahan rasuah dibebaskan.

Katanya, rakyat pasti kecewa kerana kesalahan yang dilakukan Najib membabitkan penipuan wang berbilion ringgit.

“Tapi kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu bercakap bohong, orang macam ini dilepas, bebas akan kecewalah rakyat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, banyak bukti telah dikemukakan di mahkamah sepanjang empat tahun ini yang akhirnya membuktikan Najib bersalah.

“Mahkamah buat keputusan selepas mendengar kes selama empat tahun, bukan satu mahkamah, tetapi tiga mahkamah dan sembilan hakim. Mereka buat keputusan berasaskan bukti-bukti jelas yang ditunjukkan di mahkamah.

“Tetapi yang dijawab (Najib), semua ini tidak betul, semua ini bohong, (jika begitu), kita tak payah ada mahkamah,” katanya menambah, ketiga-tiga mahkamah memberi pendapat yang sama, tetapi Najib tidak mengiktiraf keputusan mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button