Berita Utama

MP Lahad Datu masuk PBM

Perlembagaan parti perjuang hak dan autonomi wilayah borneo

BANGI, 30 Muharam, 1444H, Ahad – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas dua bulan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keputusan itu dibuat beliau selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti berkenaan iaitu memperjuangkan hak dan autonomi wilayah borneo seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya memilih PBM selepas meneliti perlembagaan parti yang memperjuangkan hak-hak Borneo di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Dengan perjuangan ini, kami dari Sabah akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan Parti Kuasa Rakyat untuk merealisasikan matlamat tersebut,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan era Pakatan Harapan (PH) itu memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebelum menyertai Warisan pada 2018, Mohamaddin bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak 1985.

Namun, beliau keluar dari Warisan pada Oktober tahun lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu mengumumkan keluar dari Bersatu pada 28 Jun lalu dan kembali menjadi wakil rakyat Bebas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button