Berita Utama

PAS akan pastikan PH tak kembali berkuasa

22 bulan perintah dalam keadaan tipu rakyat, berpecah-belah

BANGI, 30 Muharram 1444H, Ahad – PAS menyifatkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara menjadi mimpi ngeri kepada rakyat, termasuk kekesalan dalam episod sejarah politik tanah air.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, mimpi ngeri itu pasti akan menjadi pengajaran bermakna buat rakyat dan pedoman untuk generasi undi-18.

Kerajaan PH adalah sebuah kekesalan dalam sejarah politik negara apabila gabungan itu memerintah dalam keadaan menipu rakyat, tidak bersedia, berpecah belah dan saling menjatuhkan antara satu sama lain, katanya.

“Lebih malang lagi, apabila Pakatan Harapan dalam keadaan yang kucar-kacir serta hilang fokus ketika mentadbir mereka cuba merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara dan rakyat Malaysia.

“Mimpi ngeri rakyat Malaysia selama 22 bulan mentadbir pasti akan menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan menjadi pedoman buat generasi undi-18 akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) lahir dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada PH yang terbukti gagal sepanjang 22 bulan mentadbir kerajaan Malaysia.

“PAS menyokong penuh gagasan Perikatan Nasional dalam konvensyen ini (Konvensyen PN 2022) iaitu ‘Prihatin Rakyat dan Malaysia Sejahtera’ sebagai tawaran baru kepada para pengundi menuju PRU15 akan datang.

“PAS akan memastikan agar kesemua jentera parti memberikan fokus 100 peratus bagi menghadapi PRU15 akan datang dan akan memastikan PH tidak lagi kembali berkuasa di Putrajaya walau seinci selepas daripada ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button