Berita Utama

Permohonan Najib semak sabitan kes seleweng dana SRC ditetapkan tiga hari mulai 19 Januari depan

Mahkamah tetapkan 2 Disember untuk pengurusan kes bagi semakan tersebut

PUTRAJAYA, 24 Rabiulawal 1444H, Jumaat –  Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 19 Januari untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa yang mendengar pengurusan kes hari ini menetapkan 19, 20 dan 26 Januari untuk mendengar permohonan semakan itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika dihubungi mengesahkan tarikh perbicaraan itu.

Muhammad Farhan berkata, mahkamah juga menetapkan 2 Disember 2022 untuk satu lagi pengurusan kes bagi semakan tersebut.

Sementara itu, Mohd Ashrof berkata pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 4 Januari.

Prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian itu dihadiri peguam yang mewakili Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, Syafiqah Sofian dan Wan Arfan Wan Othman manakala TPR Datuk V.Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul hadir bagi pihak pendakwaan.

Bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda RM210 juta pada 23 Ogos lepas.

Najib, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 Sept lepas, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Najib memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan — tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun penjara terhadap Najib dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas.

Najib memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Mohd Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam afidavit itu, Mohd Ashrof berkata Najib telah diberikan perbicaraan yang adil dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button