Berita Utama

Petisyen untuk Najib dilancar

'Bebaskan pemimpin kami daripada dipenjara secara terpilih'

BANGI, 30 Muharram 1444H, Ahad – Beberapa petisyen dalam talian dilancarkan  untuk Datuk Seri Najib Razak selepas beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Ada petisyen menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Najib oleh BNComms Selangor.

Bahkan wujud juga petisyen supaya bekas Perdana Menteri itu tidak wajar diampunkan, yang digerakkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan dan Adil (BERSIH).

Petisyen memohon pengampunan Agong untuk Najib dilancarkan dua hari lalu di platform change.org, yang kini sudah mengumpulkan 5,500 tandatangan.

Petisyen menyatakan bahawa Najib secara selektif telah didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan yang jelas kecacatan dan selektif sejak kes mula dibawa pada 2018.

“Kecacatan yang jelas kelihatan tangan-tangan ghaib mengawal bermula daripada Hakim Mahkamah Tinggi yang secara merit sepatutnya menarik diri daripada menghakimi kes ini namun beliau bertindak balas dengan menghukum salah Datuk Seri Najib Razak.

“Rakyat memohon ihsan dan perkenan kebawah duli Tuanku untuk membebaskan pemimpin kami daripada dipenjara secara salah, secara terpilih, secara hasad dan bermotifkan dendam politik,” menurut petisyen itu.

Petisyen berkenaan juga mendakwa bahawa di bawah kepimpinan Najib, ekonomi Malaysia berada di puncak dengan pelbagai inisiatif ekonomi, penambahbaikan sosial, dana untuk pelajar dan kemasukan pelaburan asing tertinggi.

Malah katanya, kepimpinan Najib juga disenangi kuasa ekonomi utama dunia Amerika Syarikat dan China.

“Beliau juga sentiasa berbaik-baik dengan negara tetangga, menjaga hati pemimpin Arab tetapi dalam masa sama masih menghormati negara dalam pertikaian, Taiwan.

“Polisi ekonomi Datuk Seri Najib Razak yang memindahkan pemilikan khazanah rakyat dari taikun-taikun tertentu kepada syarikat milikan negara menyebabkan ada pihak sakit hati, sekali gus memulakan plot politik jahat,” katanya.

Menurut petisyen itu, empat tahun tanpa kepimpinan negara menyebabkan Malaysia terkebelakang sehingga tidak lagi menjadi minat pelabur asing.

Bahkan, kerajaan asing kini berani membuli Malaysia termasuk dengan boleh menghentikan kemasukan pekerja asing sehingga Putrajaya terpaksa tunduk dengan desakan mereka.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button