Berita Utama

‘Saya tak pernah takut berdepan kes mahkamah’: Zahid

Ada pihak bersungguh halang adakan PRU15 kerana tahu bakal ditolak pengundi

BANGI, 30 Muharram 1444H, Ahad – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa propaganda beliau meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan ekoran takut berdepan pengadilan mahkamah, adalah fitnah dan permainan persepsi lawan politik.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak pernah takut dan gentar berdepan perbicaraan mahkamah, selain akan membersihkan nama melalui lunas undang-undang yang sah serta menerusi perbicaraan adil.

Beliau berkata, pendiriannya itu kekal sehingga kini, sedangkan pihak yang berpropaganda berkenaan bersikap melepaskan diri dan rakan subahat daripada pengadilan sejurus berkuasa pada 9 Mei 2018.

“Begitu juga sebahagian mereka adalah katak-katak yang melompat keluar dari UMNO gara-gara mahu mengelak berdepan pendakwaan politik oleh musuh UMNO tanpa rasa malu mahu berbicara tentang ketakutan.

“Maka usaha mengata dulang paku serpih, mengata orang yang yang lebih.

“Kesimpulannya, mereka langsung tiada ‘moral standing’ apatah lagi maruah malah tidak layak berkata tentang kes mahkamah yang dikenakan terhadap saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid – yang sedang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah – menyifatkan bahawa pihak yang mencetuskan propaganda itu sebenarnya sedang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Katanya, mereka takut balasan akan menimpa disebabkan perbuatan memfitnah.

“Mereka yang sebenarnya dalam ketakutan mungkin dihadapkan ke mahkamah akibat kezaliman yang mereka lakukan disebabkan ‘overthinking’ pihak yang mereka zalimi akan membalas perbuatan mereka selepas PRU15.

“Sebab itu mereka bersungguh-sungguh mahu menghalang PRU15 daripada diadakan dengan pelbagai putar belit kerana mereka sendiri meyakini pegangan kuasa mereka bakal berakhir kerana ditolak oleh pengundi,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pihak terbabit supaya tidak terlalu cemas, kerana PRU15 adalah sebuah proses demokrasi penting untuk mengembalikan mandat rakyat dan kemakmuran negara.

“Bukan sebuah platform untuk melunaskan dendam politik seperti yang mereka lakukan pada PRU14.

“Seperti saya katakan saya tidak berdendam, sentiasa memaafkan namun sama sekali tidak pernah lupa,” katanya.

Ahmad Zahid  mula dibicarakan pada 18 November 2019 dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram. 

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button