Berita Utama

11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

Mangsa dakwa dipukul pelajar senior di asrama sehingga cedera

CHUKAI, 1 Safar 1444H, Isnin – Polis menahan 11 remaja berusia 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung satu kes buli membabitkan tiga mangsa iaitu pelajar asrama sebuah sekolah harian di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar lelaki berusia 13 hingga 15 tahun itu, yang mendakwa mereka dipukul oleh beberapa pelajar senior di asrama sehingga cedera.

Susulan laporan itu, beliau berkata pihaknya telah menahan 11 remaja terbabit di asrama sekolah dan rumah masing-masing di sekitar Kemaman hari ini untuk siasatan lanjut.

“Mangsa mendakwa dipukul kerana suspek berang dengan tindakan mereka melaporkan kepada guru perbuatan suspek yang menghisap vape di asrama.

“Akibat kejadian itu, mangsa pertama pecah gegendang telinga kanan, manakala mangsa kedua dan ketiga mengalami lebam di beberapa bahagian badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hanyan berkata 11 remaja tersebut direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 235 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Beliau juga menasihatkan supaya pihak pengurusan sekolah lebih peka dan mengambil tindakan segera jika terdapat aduan daripada pelajar mengenai kes buli yang boleh membawa kepada kejadian lebih buruk. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button