Berita Utama

Perlu 15 tahun stabilkan industri jagung bijian negara

Kini mampu hasilkan 5.8 tan jagung bijian bagi satu hektar tanah ladang

PADANG BESAR, 10 Syawal 1443H, Rabu – Tempoh untuk menstabilkan industri penanaman jagung bijian bagi dijadikan makanan ternakan alternatif kepada dedak dijangka mengambil masa selama 15 tahun.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, ia adalah salah satu usaha mengawal kenaikan harga ayam dan telur ayam di negara ini.

Beliau menjelaskan, makanan untuk ayam sahaja merangkumi 70 peratus daripada keperluan modal keseluruhan dalam industri penghasilan makanan industri penternakan.

Katanya, dalam kos kasar penternakan ayam, kira-kira 70 peratus atau RM1.70 adalah peruntukan untuk makanannya, sementara kos lain amat kurang.

“Jadi sebab itu kita perlu lihat dulu apa kaedah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu membabitkan 70 peratus itu.

“Oleh itu, industri ini (penanaman jagung bijian) sedang kita bina. Soal tempoh sebenarnya bergantung kepada kebersediaan petani, berapa banyak pengeluaran kita dan kualiti produk yang kita hasilkan kerana cabaran di situ banyak.

“Kita bukan sahaja menghasilkan input, tetapi kita hendak memastikan kualiti input itu memenuhi kehendak pasaran serta industri,” katanya seperti dilapor BH.

Secara keseluruhan, Malaysia mengimport 4.01 juta tan makanan ternakan pada 2020 bernilai RM6.15 bilion, dengan separuh daripadanya membabitkan dua juta tan jagung bijian bernilai RM1.73 bilion.

Badrul Hisham berkata, agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, JPV dan lain-lain sedang melihat keseluruhan aspek terbabit.

“Disebabkan itu juga, jangkaan tempoh 15 tahun itu adalah bagi memastikan kestabilan industri penanaman jagung bijian.

“Tempoh satu atau dua tahun sememangnya tidak cukup dalam pelaksanaan rancangan ini kerana kita perlu melihat dari seluruh sudut rantaian nilai itu,” katanya.

Terdapat tujuh varieti jagung bijian ditanam di 10 ladang seluruh Malaysia ketika ini, iaitu GWG 111, GWG 888, GWG 5006, P 4546, KWS 8933, Pasific 339 dan Goldconda709.

Beliau berkata, berdasarkan hasil sebanyak 5.8 tan jagung bijian bagi satu hektar tanah ladang yang dicapai di Malaysia ketika ini, ia dilihat sebagai sangat baik.

“Di Thailand juga, pengeluarannya sekitar jumlah berkenaan. Kita merancang sehingga 2030, keseluruhan ladang jagung bijian di negara ini mampu mengeluarkan 10 hingga 12 tan sekiranya petani menjalankan penanaman menggunakan cara dan teknologi yang betul.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan yang diimport dan akan dapat menstabilkan pasaran, sekali gus mengelak kenaikan harga jualan (ayam),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button