Berita Utama

Lantik AG ‘orang dia’? Kenyataan Azalina seperti kembali ke belakang

Beri bayangan institusi pendakwaan negara dikawal oleh PM

BANGI, 1 Safar 1444H, Isnin – Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung soal lantikan Peguam Negara oleh Perdana Menteri memberi bayangan seolah-olah institusi pendakwaan negara dipengaruhi dan dikawal secara jelas oleh pemimpin utama negara itu.

Ahli Parlimen Pengerang itu ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO baru-baru dilaporkan berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan terutama dalam hal perundangan.

Menyuarakan pendapat berbeza, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan hari ini, seruan disuarakan Azalina kelihatan seperti kembali ke belakang.

Katanya, langkah paling baik ialah memisahkan fungsi Peguam Negara dengan tugas pendakwaan.

“Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

“Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di mana beliau menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak pasti perancangan itu sudah sampai ke mana hari ini.

Namun katanya, ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dan dilihat dengan adil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button