Berita Utama

Mansuh pemakaian pelitup muka diputuskan KKM

Sudah jadi kebiasaan baharu rakyat, bukan paksaan

PUTRAJAYA, 1 Safar 1444H, Isnin – Keputusan berhubung pemansuhan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, MPN telah meminta Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, mengenai keperluan pemakaian pelitup muka sekiranya situasi COVID-19 beransur pulih.

“Dia (Dr Noor Azmi) mengatakan pihaknya akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci. Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini, hari ini.

Menurut laporan media, Singapura memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka mulai hari ini kecuali dalam pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan memandangkan situasi penularan pandemik COVID-19 di republik itu semakin stabil.

Muhyiddin berkata, beliau berpandangan bahawa pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik untuk memastikan diri seseorang itu tidak dijangkiti COVID-19 malah menjadi kebiasaan rakyat negara ini setelah dua tahun berhadapan dengan situasi pandemik.

“Saya fikir sekarang ini pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan baharu rakyat Malaysia, bukan paksaan. Kalau sudah sampai masanya tidak perlu pakai (pelitup muka), rakyat boleh pakai kalau mahu rasa lebih selamat,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, yang dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada, Mei lepas, Muhyiddin berpandangan tempoh pemulihan selama empat tahun yang dicadangkan MOTAC itu adalah terlalu panjang.

Bekas Perdana Menteri itu mengesyorkan MOTAC untuk mempertingkatkan tindakan yang agresif kerana kegagalan memulihkan industri pelancongan dengan agresif akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.

“MOTAC kena lihat pada pendekatan agresif agar proses pemulihan dan kesannya dapat dirasakan dalam masa singkat dari empat tahun kepada tiga tahun,” katanya bahawa proses pemulihan yang terlalu lama akan menjejaskan lagi sektor kecil industri pelancongan yang terkesan ketika pandemik COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button