Dunia

PBB bimbang laporan Taliban jadi tuan rumah kepada ketua al-Qaeda

Taliban dakwa mereka giat memerangi Daesh dan al-Qaeda

NEW YORK, 1 Safar 1444H, Isnin – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai laporan bahawa Taliban menjadi tuan rumah kepada pemimpin al-Qaeda, kata Timbalan Wakil Khas PBB untuk Afghanistan Ramiz Alakbarov kepada Sputnik.

“Taliban mendakwa mereka giat memerangi Daesh dan al-Qaeda, tetapi berdasarkan perkembangan terkini, termasuk kehadiran pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahiri di Kabul, ia sedikit sebanyak mengubah persepsi.

“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti. Kami khuatir dengan perkembangan ini tetapi akan terus melaksanakan tugas berkaitan,” kata Alakbarov.

Akibat perkembangan terbaharu ini, tugas menggerakkan bantuan ke Afghanistan menjadi lebih sukar, kata pegawai PBB itu.

Jumlah serangan pengganas di Afghanistan telah menyaksikan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut Alakbarov.

Bagaimanapun, serangan pengganas semakin menjadi-jadi menjelang ulang tahun pertama pengunduran tentera Amerika Syarikat dan Taliban menguasai semula Afghanistan.

Pada 1 Ogos, Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron AS di Kabul pada 31 Julai.

Setiausaha Negara Antony Blinken berkata Taliban telah melanggar perjanjian Doha ketika era Trump dengan menjadi tuan rumah serta melindungi pemimpin al-Qaeda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button