Berita UtamaDunia

Russia, Korea Selatan meterai perjanjian AS$2.2 bilion bina loji nuklear pertama Mesir

Unit pertama dijadualkan untuk operasi komersial pada 2028

SEOUL, 1 Safar 1444H, Isnin – Korea Selatan telah memeterai perjanjian bernilai AS$2.25 bilion (3 trilion won) dengan Rosatom milik negara Russia untuk menyediakan bangunan dan komponen loji nuklear pertama Mesir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Korea Selatan, Korea Hydro & Nuclear Power Co memenangi kontrak itu dan dipilih sebagai pembida tunggal untuk bahagian projek di El-Daaba, Mesir pada Disember 2021.

Reaktor loji nuklear itu akan dibina oleh Rosatom manakala firma Korea Selatan membina kemudahan lain dengan unit pertama dijadualkan untuk operasi komersial pada 2028.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengalu-alukan perjanjian itu di laman Facebook beliau dan menyifatkannya sebagai ilustrasi teknologi tenaga nuklear yang sangat baik negara itu.

“Tenaga nuklear bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat dan mencapai neutraliti karbon tetapi ia juga menyatukan negara.

“Kami di Rosatom amat percaya bahawa kerjasama nuklear tidak boleh berhenti dalam masa yang bergelora ini. Sebaliknya, adalah amat penting untuk membangunkan dan mengembangkannya seterusnya memberi manfaat kepada negara kita,” kata Pengarah Rosatom untuk Perniagaan Antarabangsa, Boris Arseev pada majlis menandatangani perjanjian itu, menurut kenyataan akhbar syarikat.

Nikkei Asia melaporkan bahawa projek itu akan menjadi kali pertama dalam 13 tahun syarikat Korea Selatan ditugaskan untuk membina loji nuklear di luar negara.  

Terdahulu, ia memperoleh kontrak untuk membina empat unit loji kuasa nuklear Barakah UAE yang memulakan operasi komersial pada 2021.

Laporan oleh Bloomberg menyatakan bahawa Russia mempunyai sejarah panjang menjalankan projek tenaga berskala besar di negara Afrika Utara itu, selalunya sebagai sebahagian daripada strategi geopolitik yang lebih luas untuk menentang pengaruh Amerika Syarikat (AS).  

Bekas Kesatuan Soviet itu turut membantu membina Empangan Tinggi Aswan Mesir pada tahun 1960-an. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button