Berita Utama

Songkok letaknya di kepala untuk dihormati, bukan dipermainkan

Melayu begitu memahami kaum minoriti, tapi minoriti semakin hari semakin kurang ajar

BANGI, 1 Safar 1444H, Isnin – “Saya nak kata dia bodoh, nanti marah pulak. Ini bukan soal agama, budaya atau agama, ini soal sensitiviti,” demikian kata Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah merujuk kepada tindakan seorang pereka fesyen yang tampil memakai songkok tetapi berpakaian separuh bogel semasa Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), baru-baru ini.

Pendakwah bebas itu menegaskan, meskipun pereka fesyen itu mempertahankan dirinya dan mendakwa tiada niat untuk membuat provokasi kepada sesiapa, dia sepatutnya belajar menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

“Songkok ini sudah sinonim dengan masyarakat Melayu (Islam). Tidak kiralah asal usulnya daripada mana. Songkok ini letaknya di kepala, bukan di lutut. Sesuatu yang diletakkan di kepala, kalau ikut budaya dan cara hidup Melayu, benda itu mulia. 

“Sama juga dengan kopiah dan jubah, pun bukan datang daripada budaya Melayu, tetapi sudah sebati dengan Melayu. Kopiah dimuliakan, letak pun di tempat atas (atas kepala) tidak boleh dipermainkan.

“Macam bendera Malaysialah. Bukanlah berkaitan dengan agama, tetapi lambang kedaulatan negara. Bolehkah ia dipermainkan, diterbalikkan, diwarna hitamkan atau dibuat macam-macam seperti pernah dilakukan ultra kiasu? Tidak bolehkan? Islam atau bukan Islam tetap kena hormat,” katanya dalam tulisan artikel yang disiarkan Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, cara pemakaiannya perlu dihormati walaupun jika ia tiada kaitan dengan agama sekalipun. 

“Jika dipermainkan, ia menjadi suatu sensitiviti. Takkan itu pun tak faham?,” katanya.

Malah, Prof Ridhuan turut memberi contoh adab dan rasa hormat orang Melayu terhadap kaum lain dalam apa jua upacara. 

“Sama juga budaya menghadiri upacara kematian orang Cina atau bangsa lain sekalipun. Orang Melayu (Islam) biasanya jarang datang dengan baju merah, kerana mereka faham dan amat menghormati budaya orang lain, walaupun tidak ada kaitan dengan agama.

“Kenapa orang Melayu (Islam) begitu memahami? Kenapa kamu yang tinggal bergenerasi di sini, hasil daripada kedatangan ke alam Melayu tidak pernah mahu cuba untuk memahami?

“Bila aku puji Melayu, nanti kamu kata aku lebih Melayu dari Melayu. Kenapa kamu tidak tidak memahami sejarah dan asal-usul Melayu (Bumiputera) selaku penduduk majoriti?

“Majoriti begitu memahami minoriti. Semakin hari minoriti semakin menjadi kurang ajar. Adab kamu di mana?,” katanya.

Pautan berkaitan:

https://ismaweb.net/2022/08/25/sempadan-batas-agama-jangan-dibuat-bahan-mainan (https://ismaweb.net/2022/08/25/sempadan-batas-agama-jangan-dibuat-bahan-mainan/)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button