Berita Utama

Benar tidak benar? Najib berjaya ubah nilai hidup orang Melayu?

Berjaya tolak bukti jelas dan terima kenyataan yang tidak berasas

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berjaya mengubah budaya serta nilai hidup orang Melayu.

Dakwanya, ini apabila ia berjaya menolak bukti jelas dan menerima kenyataan yang tidak berasas menerusi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

“Selama empat tahun Najib dibicara, berasas dokumentasi dan cek yang didedah berkenaan duit SRC yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam Ambank dan dibelanja olehnya kononnya tidak benar.

“Dia tidak tahu akan adanya duit ini. Dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini. Jika ada duit ini, ia adalah sumbangan dari Raja Arab. Apa bukti? Tidak perlu.

“Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya AG. Najib tidak salah,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara sinis dakwanya lagi, apa yang benar ialah Dr Mahathir memiliki duit berbilion yang disimpan di Switzerland dan Taiwan.

“Apa bukti? Bukti tidak perlu. Najib tahu. Percayalah sahaja.

“Yang benar ialah semua anak Mahathir menjadi bilionaire semasa Mahathir jadi Perdana Menteri. Apa bukti. Tidak ada. Tetapi Najib tahu.

“Ada surat dari Mahathir kepada Kementerian Kewangan. Mana dia surat ini. Ada pada Najib. Tunjuk. Tunggu. Akan ditunjuk. Percaya sahajalah. Bukti tidak perlu,” dakwanya.

Dr Mahathir berkata, selama empat tahun Najib dibicara dengan puluhan saksi memberi maklumat akan kesalahannya.

Katanya, turut dipamerkan adalah dokumen dan bukti lain, bahkan hakim menulis 800 muka surat berkenaan apa yang didedah oleh saksi.

“Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim ada conflict of interest. Hakimnya berat sebelah.

“Yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah.

“Apa dia yang betul. Dakwaan oleh Najib dan peguam upahannya. Ini yang betul. Bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu, semua tidak betul.

“Ini ialah satu kejayaan Najib. Menjadi yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button