Berita Utama

BN dakwa PM beri komitmen PRU15 sebelum Disember

'Dia kata, takkan saya nak bawa hingga ke tahun depan': Mohamad

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Barisan Nasional (BN) menggesa jentera parti untuk segera memulakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang didakwa akan diadakan tahun ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan bahawa PRU15 mungkin berlaku sebelum Disember tahun ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi komitmen untuk melaksanakannya sebelum penghujung tahun 2022.

“Cuma dia tak bagi tarikh. Dia kata, takkan saya nak bawa hingga ke tahun depan.

“Kalau pilihan raya tahun ini, takkan nak buat bulan 12. Orang berenang pula nak pergi mengundi. Di Pahang ini bukan calang-calang banjir. Banjirnya besar,” katanya dilapor media tempatan, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyifatkan PRU15 sebagai pilihan raya antara hidup dan mati bagi parti berkenaan.

Justeru, ia jelas memberi isyarat supaya jentera parti perlu bekerjasama, faham peranan masing-masing dan menyegerakan gerak kerja ke peringkat akar umbi untuk membantu parti.

“Buatlah gerak kerja. Mulai dari sekarang, kita tak cakap pasal minggu dah. Kita tak cakap pasal bulan dah, kita cakap minggu dan hari. Tak banyak lagi minggu, tak banyak lagi hari.

“Pilihan raya ke 15 ini adalah pilihan raya hidup dan mati. Kerana kalau kita tak menang, memang susahlah kita nak naik,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad turut memaklumkan bahawa BN tidak akan bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button