Dunia

COVID-19: China makin perketat sekatan menjelang kongres Parti Komunis

Penduduk diarah berkurung di rumah sehingga Sabtu

BEIJING, 2 Safar 1444H, Selasa – Beberapa bandar besar China meningkatkan sekatan COVID-19 pada Selasa, apabila pihak berkuasa menggandakan usaha untuk membendung penularan wabak menjelang mesyuarat Parti Komunis tahun ini.

Hampir empat juta penduduk di wilayah Hebei berdekatan Beijing diarah berada di rumah sehingga akhir minggu ketika pihak berkuasa giat mengekang COVID-19.

Lebih daripada 13 juta penduduk di bandar pelabuhan jiran Tianjin diwajibkan menjalani ujian saringan besar-besaran mulai 6 pagi waktu tempatan, selepas 51 kes ringan dilaporkan.

Sementara di Longhua, daerah Shenzhen – dengan 2.5 juta penduduk – menutup pelbagai tempat hiburan dan pasar borong termasuk menangguhkan sebarang penganjuran acara besar.

Orang ramai mesti menunjukkan bukti keputusan ujian negatif dalam tempoh 24 jam untuk memasuki kawasan kediaman.

Manakala, restoran juga diminta mengehadkan bilangan pelanggan kepada tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti premis mereka, kata pihak berkuasa Longhua.

Sekatan baharu itu dijangka berkuatkuasa sepanjang minggu dan tamat pada Sabtu.

Langkah sama turut diumumkan pada Isnin meliputi tiga daerah lain yang menjejaskan lebih enam juta penduduk di Shenzhen, meskipun telah memerangi pelbagai subvarian Omicron tahun ini.

Di Dalian, sebuah pelabuhan utama untuk import kacang soya dan bijih besi telah melanjutkan perintah berkurung sehingga Ahad, menyebabkan tiga juta penduduknya terjejas.

Menerusi perintah itu, hanya seorang wakil isi rumah sahaja yang dibenarkan keluar setiap hari bagi membeli keperluan harian.

Sepanjang sekatan, pekerja di sektor tidak penting diarahkan untuk bekerja dari rumah, manakala syarikat pembuatan perlu mengehadkan jumlah kakitangan di lapangan serta mengekalkan operasi asas dan segera sahaja.

Beijing telah menggandakan langkah sekatan itu menjelang Kongres Kebangsaan Ke-20 Parti Komunis yang dijangka berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button