Berita Utama

Elak karya seni cuba normalisasi budaya canggah syariat

Hiburan memang satu fitrah, tapi biar bertepatan agama Islam

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Karya seni atau program hiburan yang cuba menormalisasikan budaya bertentangan syariat Islam, nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielak serta ditentang habis-habisan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, meskipun hiburan itu adalah satu fitrah, setidaknya biarlah ia bertepatan dan berlandaskan agama serta syariat Islam.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya setiap stesen dan produksi televisyen mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis dan memantau semua skrip serta kandungan sebelum disiarkan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak.

“Jakim juga telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadith yang membuat kajian serta rujukan hadis kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu masyarakat terus terjebak dengan penyebaran hadis palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Idris mengadakan pertemuan dengan stesen dan produksi televisyen bagi mendengar pandangan mengenai dunia penyiaran.

“Saya mengambil peluang seluas-luasnya pada pertemuan yang sangat baik ini terhadap beberapa kerisauan saya dan kita semua dalam sekitar sebulan dua ini tentang pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dan kerisauan kita terhadap kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur.

“Peluang saya bertemu dengan para pemain industri penyiaran ini adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda yang lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau dan tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata.

“…namun isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia terutamanya anak muda perlu dititik berat dalam dunia penyiaran ini,” katanya.

Beliau berkata, setelah mendengar maklum balas dan pendapat daripada pemain industri, masih ramai yang suka dan mahukan rancangan serta siaran mempunyai kandungan berunsur islamik dan bertepatan syariat agama.

“Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat.

“Marilah kita bergabung membina masyarakat dan negara yang sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button