Berita Utama

GiatMARA nilai semula kursus di pusat latihan

Pastikan kekal relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa

MARANG, 2 Safar 1444H, Selasa – GiatMARA akan melaksanakan proses penilaian semula kursus di pusat latihannya bagi memastikan ia kekal relevan dan sesuai dengan kehendak pasaran kerja semasa.

Pengerusinya Datuk Din Adam berkata langkah itu termasuk dalam pelan ‘meremajakan’ GiatMARA agar menjadi pusat latihan teknikal dan vokasional berkualiti serta memenuhi kehendak pasaran kerja dengan membekalkan tenaga kerja mahir serta bakal usahawan berdaya saing.

“Meremajakan ini bermaksud kita perlu melakukan perubahan pada program latihan itu sendiri yang berpandukan kepada kehendak atau permintaan pasaran kerja semasa.

“Saya dah minta pihak berkaitan buat kajian dan perbincangan untuk tengok kursus latihan yang ada dan nilai semula untuk penambahbaikan atau perubahan,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di Pusat Latihan Kemahiran GiatMARA Marang di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Pengarah GiatMARA Terengganu Majid Ahmad, turut melawat Pusat Latihan Kemahiran GiatMARA Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

Din berkata beliau juga meminta GiatMARA negeri agar mengenal pasti corak permintaan pasaran kerja di kawasan masing-masing untuk disesuaikan dengan kursus atau latihan yang boleh ditawarkan.

Sebagai contoh, beliau berkata kewujudan industri minyak dan gas di Terengganu perlu dimanfaatkan bagi memperbanyakkan penawaran kursus atau latihan berkaitan industri berkenaan di 10 pusat latihan di negeri itu.

“Saya faham kalau hendak buat kursus yang khusus kepada industri minyak dan gas akan makan belanja sangat besar kerana perlu pelbagai kepakaran, instrumen dan sebagainya.

“Tetapi kita cuba fokus kepada benda saling berkaitan seperti servis sampingan kepada industri berkenaan,” katanya.

Sebagai institusi latihan bersifat mesra komuniti, Din mahu GiatMARA menjalin hubungan lebih rapat dengan masyarakat setempat melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti Hari Komuniti Bersama GiatMARA. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button