Berita Utama

Isu dokumen bocor: Benar atau tidak tetap jenayah

Saran siasat secara forensik teknologi kesan individu bertanggungjawab

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Siasatan segera perlu dilakukan berhubung dakwaan berlaku kebocoran dokumen yang kononnya mengarahkan kes-kes tertentu dipercepatkan.

Saranan berkenaan disuarakan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang mahu siasatan dilakukan walaupun kesahihan berhubung dakwaan itu tidak dapat dipastikan lagi.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa, perkara tersebut bukanlah yang pertama dilaporkan.

“Sebelum ini penghakiman yang dikatakan ‘draf awal’ telah dibocorkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Apa dah jadi ni? Mereka yang bertanggungjawab di jabatan berkenaan tolonglah bersikap amanah,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, apa yang dibocorkan berkenaan jika benar ia dokumen yang sah, ia merupakan satu jenayah.

“Namun jika tidak benar, pihak ketiga yang susah payah mewujudkan draf palsu itu juga tetap dikira melakukan jenayah,” katanya lagi.

Justeru, beliau menyarankan supaya siasatan secara forensik teknologi dilakukan berikutan diyakini mampu mengesan siapa yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berkaitan draf penghakiman dalam tiga rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa bocor.

26 Ogos lalu, polis juga membuka siasatan berhubung kebocoran dokumen draf didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button