Berita Utama

Bahaya! Negara sokong Palestin akan dianggap pengganas jika dunia iktiraf Israel

Tak mustahil dituduh sebagai pengganas yang ancam ‘kestabilan’ Timur Tengah

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Malang sekali apabila lebih 161 negara sudah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah – meskipun hakikatnya Tel Aviv telah menjajah dan merampas tanah Palestin sejak puluhan tahun. 

Setakat ini, hanya 31 buah negara, yang majoritinya negara Islam belum mengiktiraf kewujudan negara haram yang sejak sekian lama menceroboh Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, seandainya 31 negara ini mengambil keputusan mengiktiraf Israel dan menormalisasi hubungan dengan Zionis, maka akan berlaku situasi lebih dahsyat daripada sekarang. 

“Jika normalisasi ini berlaku secara keseluruhan, khususnya negara Timur Tengah dan Afrika Utara, kita akan lihat – isu Palestin – yang selama ini dianggap sebagai isu rampasan dan penjajahan akan terus dipadamkan dalam peta dunia,” katanya dalam sebuah video yang disiarkan TV Pertiwi.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, naratif berkenaan Israel dan Palestin akan berubah sama sekali jika seluruh dunia bertindak mengiktiraf negara pengganas Zionis.

“Kelak, sesiapa yang mahu mengangkat semula isu Palestin dan mahu membantu Palestin serta mendukung mana-mana gerakan yang ingin membebaskan Palestin.. 

“… mereka pula yang akan dilihat sebagai pengganas yang mengancam ‘kestabilan’ di Timur Tengah dan keselamatan Israel,” katanya.

Tahun ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara teluk pertama yang mengiktiraf Israel dalam tempoh 26 tahun selepas Mesir dan Jordan. 

Langkah itu kemudian disusuli Bahrain dan terkini Sudan.

Selepas perjanjian ditandatangani, Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, Donald Trump serta merta mengeluarkan Sudan daripada senarai negara-negara yang membiayai keganasan. Sekatan ekonomi terhadap negara itu turut ditamatkan.

Trump mendakwa, sekurang-kurangnya lima lagi negara Arab dijangka akan menjalin perjanjian damai dengan Israel selepas ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button