Berita Utama

Orang Melayu boleh hilang negara jika terus berpecah: Tun M

Tak mustahil tanah Melayu hanyalah wujud pada nama sahaja

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan orang Melayu boleh berdepan kehilangan negara sekiranya terus berpecah belah dan melawan sesama sendiri.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, tidak mustahil tanah Melayu hanyalah wujud pada nama, namun hakikatnya ia tidak dimiliki oleh bangsa tersebut.

Beliau berkata, perkara itu juga sudah berlaku hari ini apabila tanah Melayu yang dahulunya daripada Segenting Kra sehingga Pulau Riau kini hanya tinggal semenanjung.

“Sekarang ini Segenting Kra dan beberapa negeri Melayu yang ada di selatan Thailand sudah tidak menjadi tanah Melayu lagi.

“Pulau Riau dimiliki sekarang oleh Indonesia. Singapura juga bukan lagi tanah Melayu walaupun dahulunya ia adalah sebahagian daripada tanah Melayu.

“Namun, hari ini ia dijadikan sebuah negara lain yang dimiliki oleh orang lain dan ditadbir urus oleh orang lain,” katanya berucap dalam Sesi Dialog Pimpinan PERKASA Seluruh Malaysia dan NG0-NGO Melayu, hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kini tanah Melayu yang tinggal hanyalah di semenanjung, namun kedudukannya juga didakwa masih tidak selamat.

“Ini kerana orang Melayu miskin, mereka jual tanah. Hari ini Pulau Pinang bukan kita punya, ibu kota bukan kita punya, bandar Ipoh bukan kita punya.

“Kebanyakan bandar-bandar bukan kita punya. Kita katakan bukan kita punya kerana kita nak masuk bertanding di situ pun tak boleh menang kerana diduduki oleh orang lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, atas dasar itu parti Pejuang ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu dan memujuk empat parti lain untuk bersatu di bawah GTA.

“Empat parti dalam gerakan ini, kalau mereka berjuang sebagai parti mereka saja mereka tak mungkin menang. Pejuang juga tak mungkin menang.

“Dan hasilnya ialah hari ini empat parti bersetuju bersatu. Pejuang bukan untuk pecah belahkan orang Melayu, bahkan menyatupadukan orang Melayu.

“Dan tidak terhad parti-parti politik saja, kita nak NGO bersama kita dalam pilihan raya untuk mengalahkan parti kleptokrasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button