Berita Utama

Peningkatan subsidi faktor kadar inflasi Malaysia masih rendah

Kadar inflasi Malaysia berada di bawah kedudukan negara jiran

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Kadar inflasi Malaysia masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara lain, termasuklah negara jiran Indonesia dan Singapura.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar inflasi Malaysia adalah 2.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata, kadar itu selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus bagi tahun 2022.

“Kadar inflasi pada bulan Julai 2022 berbanding dengan Julai 2021 meningkat sebanyak 4.4 peratus.

“Trend kadar inflasi yang tinggi ini adalah fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

“Tetapi bagi Malaysia, alhamdulillah kadar inflasi negara kita masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi Malaysia berada di bawah kedudukan negara jiran seperti Indonesia (4.9 peratus), Singapura (7.0 peratus) dan Thailand (7.6 peratus) bagi bulan Julai.

Sementara kadar inflasi United Kingdom adalah 10.1 peratus, Kesatuan Eropah (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Filipina (6.4 peratus) dan Korea Selatan (6.3 peratus).

Beliau berkata, salah satu faktor kadar inflasi yang rendah ini adalah peningkatan subsidi disalurkan oleh kerajaan.

Katanya, subsidi yang diunjurkan hampir mencecah RM80 bilion berbanding dengan peruntukan awal iaitu hanya RM31 bilion.

“Baru-baru ini juga, kerajaan mengumumkan subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi semua pengguna untuk separuh tahun 2022.

“Hasil daripada ini, inflasi bulan ke bulan menyederhana kepada 0.4 peratus pada bulan Julai berbanding 0.6 peratus pada bulan Jun 2022,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi Malaysia mungkin melonjak melebihi 12 peratus sekiranya kerajaan tidak menyediakan pelbagai subsidi kepada rakyat.

“Segala usaha kerajaan ini sudah tentu bagi kesejahteraan #KeluargaMalaysia daripada terus terkesan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button