Berita Utama

PRU15 akan timbul banyak lagi masalah: Ku Li

Jangka tiada parti politik peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat pilihan raya paling sukar bagi semua parti yang bertanding.

Melihat situasi semasa, kemungkinan tiada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan dalam PRU-15 nanti, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Saya rasa PRU-15 adalah pilihan raya yang paling sukar dan tidak fikir ada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah, tak boleh membentuk kerajaan.

“Barisan Nasional (BN) pun berada dalam keadaan begitu apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal dan masalah yang dihadapinya.

“Saya rasa kemungkinan pilihan raya ini bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menimbulkan banyak lagi masalah,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu meramalkan PRU15 tidak akan mendatangkan hasil yang baik memandangkan tidak ada satu parti pun yang mampu menubuhkan kerajaan.

“Jadi apa makna ada pilihan raya. Kita akan menambahkan masalah lebih daripada menyelesaikan masalah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedudukan UMNO kini tidak seperti dahulu lagi justeru keputusan bergerak solo pada PRU-15, bukan langkah terbaik.
.
Tegas beliau, UMNO boleh bergerak solo tetapi faham apa makna solo tersebut.

Beliau menjelaskan, UMNO dulu ada 13 parti bersamanya dari Sabah dan Sarawak serta teman-teman yang kuat membantu UMNO iaitu MCA dan MIC.

“Mereka begitu berpengaruh ketika dulu. Tetapi sekarang kita hanya mempunyai MCA dengan MIC yang tidak dapat ditentukan kekuatan parti-parti ini.

“Ada kalanya calon MCA berharap kepada sokongan UMNO. Jadi, bagaimana kita nak menghadapi keadaan dengan macam-macam masalah, pelbagai berita yang timbul dari semasa ke semasa untuk menghadapi pihak lawan pada PRU-15,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button