Berita Utama

PRU15: PAS tolak kerjasama dengan PH, cadangan khemah besar

Tetap utamakan konsep penyatuan ummah, perpaduan nasional

BANGI, 2 Safar 1444H, Selasa – PAS menegaskan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan menolak kerjasama itu termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’.

Beliau berkata, perkara itu antara yang telah diputuskan oleh PAS Pusat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian pada 29 Ogos lalu.

“PAS tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri yang diterajui PAS juga tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023.

Katanya, keputusan itu atas dasar untuk menumpukan perkara yang lebuh perlu iaitu aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang ekonomi selain daripada kesihatan.

“PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button