Berita Utama

Patut atau tidak Najib dapat pengampunan?

Keputusan Lembaga Pengampunan dibuat seadil-adilnya demi jaga hak dan kepentingan awam

BANGI, 3 Safar 1444H, Rabu – Kini timbul dua petisyen bertentangan selepas mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pertama, petisyen memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Ahli Parlimen Pekan itu, manakala satu lagi petisyen supaya tidak diberi pengampunan, sekali gus mencetuskan polemik di media sosial.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, prosedur pengampunan dinyatakan dalam undang-undang, tetapi undang-undang tidak menyatakan kriteria untuk menerima atau menolak sesuatu petisyen.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, peruntukan utama petisyen pengampunan ialah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja Negeri-Negeri dalam Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum serta lega hukum.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kuasa pengampunan di bawah Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda dibantu Lembaga Pengampunan dengan Perkara 42 memperuntukkan baginda sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan bertindak atas nasihat lembaga berkenaan.

“Namun baginda hendaklah juga menimbangkan apa-apa pendapat bertulis mungkin dikemukakan Peguam Negara mengenai sesuatu petisyen dibentangkan,” katanya seperti dipetik dalam ruangan rencana di Berita Harian, hari ini.

Beliau pada masa sama merujuk beberapa kes diputuskan di mahkamah mengenai ruang lingkup kuasa di bawah Perkara 42 ini antara dalam kes Superintendent of Pudu Prison & Ors lwn Sim Kie Chon (1986), Mahkamah Agong memutuskan kuasa pengampunan adalah kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Prof Nik Ahmad Kamal berkata, mahkamah tidak boleh campur tangan dan semakan kehakiman tidak boleh dibuat terhadap keputusan Lembaga Pengampunan berkenaan kerana mahkamah menyebut kuasa itu adalah prerogative of mercy atau kuasa prerogatif memberi pengampunan.

Sebelum ini, penyokong Najib menganggap jasa beliau kepada negara amat besar menyebabkan beliau layak diberi pengampunan.

Namun, terdapat juga pandangan lain pula beranggapan Najib melanggar amanah terhadap negara serta bersekongkol sehingga menyebabkan kehilangan wang negara berbilion ringgit menyebabkan beliau tidak boleh diampunkan.

Prof Nik Ahmad Kamal berkata, spekulasi tidak dapat dielakkan, begitu juga jika Lembaga Pengampunan menerangkan alasan keputusan mereka, akan timbul pula polemik tanpa kesudahan.

“Sukar untuk menghalang rakyat daripada membandingkan kes Najib dengan kes ahli politik diampunkan dan dibebaskan daripada tahanan,” katanya.

Beliau turut merujuk kes Datuk Harun Idris diampunkan selepas menjalani hukuman penjara, manakala Datuk Mokhtar Hashim dikurangkan hukuman daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup, seterusnya dibebaskan selepas mendapat pengampunan kali kedua.

“Apa yang pasti kita mahukan setiap keputusan Lembaga Pengampunan dibuat seadil-adilnya demi menjaga hak dan kepentingan awam, sekali gus tidak diputuskan sewenang-wenang.

“Itu adalah harapan kita, namun pada masa sama, kita tidak boleh menafikan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan dan Raja mempunyai tugas berat untuk memutuskan sesuatu petisyen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button