Artikel Khas

Ayuh merdekakan diri dari dijajah cengkaman politikus

Krisis politik orang Melayu semakin meruncing

Persoalan “merdekakah kita” saban tahun mungkin dianggap klise tetapi ianya tetap relevan untuk merenung, refleksi diri dan menyegarkan semangat juang dalam bidang masing-masing, khususnya dalam konteks perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Namun, sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-65 kali ini saya ingin membawa dimensi yang berbeza terhadap persoalan ini, berdasarkan kekalutan krisis yang sedang melanda negara terutamanya bangsa Melayu secara khususnya dan umat Islam secara amnya. Yakni krisis politik orang Melayu yang semakin meruncing.

Saban hari, ada sahaja siri drama politik dalaman parti Melayu yang dihidangkan kepada masyarakat seolah-olah tiada agenda lain yang lebih mustahak padahal kita tahu kebanyakkannya hanya sandiwara atau ‘marketing’ yang dirancang oleh war room parti politik. War room pun bukan calang-calang, berjuta ringgit dilaburkan dengan pelbagai kecanggihan serta tenaga kerja yang ramai.

Semua ini untuk kekal relevan dan terus menjadi bualan masyarakat sebagai momentum menuju pilihanraya.

Lihatlah muka-muka depan akhbar-akhbar tempatan, terutamanya akhbar-akhbar Melayu. Portal-portal berita juga begitu, melampau-lampau menyiarkan ‘sensasi murahan penuh kepalsuan’ masalah dalaman parti. Kadang-kadang, tak ubah seperti tabloid-tabloid sensasi gosip artis sahaja.

Masyarakat pula seolah-olah dipaksa mengikut rentak tari ‘war room’ politikus yang menentukan naratif. Lama-kelamaan, bangsa akan menjadi mundur kerana terlalu memikirkan hal politik yang kita tahu yang dihidangkan itu kebanyakkannya palsu belaka. Sejarah sudah membuktikannya, bacalah sejarah tamadun-tamadun silam dan negara-negara zaman moden yang telah musnah.

Inilah persoalannya. Apakah sebenarnya kita sedang dijajah oleh politikus elit, lebih-lebih lagi yang mempunyai pelbagai kekuasaan untuk mengawal mental dan tindak-tanduk masyarakat secara tidak sedar?

Rakyat sibuk berkhayal dengan fantasi yang dicipta mereka, manakala mereka terus mengaut segala keuntungan.

Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu harus bijak memanipulasi dan matang dalam berpolitik dalam lingkungan sistem demokrasi yang ditinggalkan kolonial penjajah ini. Jika tidak, tercapailah hajat penjajah untuk melihat kita terus ‘terjajah’ mindanya dan akhirnya terus mundur.

Sifirnya mudah sahaja, sama ada:
1. Rakyat kuasai politikus; atau
2. Politikus terus kuasai rakyat.

Langkah utama untuk mencapai yang pertama itu adalah untuk memerdekakan diri kita dari cengkaman politikus.

Paling kurang pun, pastikan kita:
1. Tidak taksub.
2. Bijak menilai; tidak mudah percaya propaganda.
3. Berani berubah dan mengubah.

Ingatlah, perubahan bermula dari paradigma kita terhadap politik itu sendiri. Jika kita masih lagi di takuk lama, kita akan terus ‘dijajah’ oleh politikus.

Akhirnya, secara tidak langsung hanya akan terus menjayakan hasrat bekas penjajah kita melalui ‘World Order’-nya yang mahu umat Islam terus mundur dan terus tersepit.

Fikir-fikirkan.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
31 Ogos 2022

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button