Generasi dahulu hadiahkan merdeka, kini giliran kita sempurnakan pembebasan negara
‘Marilah sama-sama kita bangunkan segala sumber nasional yang ada di negara ini’

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Sambutan kemerdekaan negara buat kali ke-65 hari ini membawa makna bahawa peranan yang dimainkan oleh generasi terdahulu sudah pun selesai dan sempurna.
Mereka telah menghadiahkan rakyat sebuah negara yang merdeka, maka sebagai generasi baharu, adalah menjadi tanggungjawab untuk sama-sama menyempurnakan kemerdekaan tanah air, demikian kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Beliau berkata, semangat kemerdekaan hari ini boleh diambil oleh rakyat sebagai suntikan untuk menyempurnakan pembebasan sebenar negara.
“Caranya adalah mencuba sedaya upaya untuk menyempurnakan pembebasan negara daripada sebarang pencerobohan luar.
“Ini termasuk pencerobohan fizikal, pencerobohan ketenteraan, pencerobohan pemikiran, pencerobohan kebudayaan dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seterusnya, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama patuh dan tunduk di bawah satu Perlembahaan bagi melahirkan masyarakat berintegrasi, mempunyai kesatuan serta kesepaduan dalam kehidupan yang harmoni.
Bukan itu sahaja, demi kemajuan pesat negara, beliau turut menggesa rakyat Malaysia sedar akan potensi dan membangunkan sumber bumi Malaysia.
“Marilah sama-sama kita membangunkan segala sumber nasional yang ada di negara ini untuk kita membangun negara kita berdasar pada neraca dan acuan timur, Melayu Islam.
“Sebagaimana yang kita laungkan dan kita impikan selama ini. Selamat menyambut kemerdekaan kepada semua. Semoga Allah SWT mengurniakan negara kita satu keadaan yang aman, maju, kuat dan berdaulat,” katanya.