Artikel Khas

Jangan biar jati diri Melayu terus dijarah

Bangsa yang terjajah apabila membisu kedaulatan dicabul depan mata

PASTINYA hari ini ramai mengambil kesempatan menyambut hari kemerdekaan. Pedang lihat meriah di luar sana, begitu juga di media sosial. Pedang puji, semangat patriotik masih menebal dalam kalangan rakyat Malaysia.

Atas sebab itu, kita harus limpahkan rasa syukur kerana dikurniakan ribuan pejuang dan wira yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah air. Dahulu, bangsa Melayu bukan sahaja kehilangan tanah watan, tetapi lesap juga identiti bangsa dan budaya. 

Selepas lebih 400 tahun dijajah, kita disogokkan pula dengan penjajahan era baru, termasuk penjajahan budaya, minda dan pemikiran.

Penjajahan ini sebenarnya tak perlu senjata pun, cukup dengan gerakan politik atau gerakan untuk jauhkan generasi muda dengan jati diri Melayunya.

Ada yang berkata kepada Pedang, ‘janganlah overthinking…Nak takut apa kita kan sudah merdeka, nak jajah apa lagi’. 

Ya, 65 tahun sudah kita merdeka, 65 tahun juga merasai nikmat bebas daripada penjajah. Namun bagaimana dengan minda dan jati diri anak bangsa kita? Sudah merdekakah?

Saban hari kita diasak kanan dan kiri hingga terhakis identiti diri. Melayu, Islam terus diperkotak-katikkan. Adakah kebebasan ini yang kita mahukan?

Mahu tidak mahu pedang ingatkan, belajarlah dari sejarah supaya identiti bangsa kita tidak terus diratah.

Pedang teringat ‘Surat terbuka untuk Umat Melayu Islam’ yang dinukilkan Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman pada 2014.

Antara petikannya:

Ketahuilah wahai saudaraku, penjajahan ke atas tanah air bukan menunggu datangnya bala tentera melanggar sempadan negara. Hakikatnya, bangsa yang dijajah adalah bangsa yang kehilangan jati diri, yang terkongkong aspirasinya, terbelenggu kehendaknya, di bumi sendiri. Bangsa yang terjajah adalah bangsa yang membisu membiarkan kedaulatannya dicabul di depan mata.

Sedarlah wahai bangsaku, bahawa tanahair kita kini sedang menghadapi ancaman dan gugatan berterusan, dari segenap penjuru, daripada pelbagai pihak yang beraksi sebagai proksi kepada Yahudi Zionis Evangelis, yang mahu meleburkan jati diri umat dan menguburkan Islam sebagai identiti negara.

Justeru memperjuangkan hak kedaulatan bangsa dan agama kita atas tanah warisan ini adalah satu kewajiban agama, tanggungjawab maruah dan hak semula jadi yang mesti diakui oleh semua.

Benarlah apa yang ditulis. Ramai tidak sedar sebenarnya kita masih dijajah secara dalaman. Bangkitlah anak-anak Melayu Islam. Bina semula kekuatan dan jati diri, ya bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Jadikan Islam sebagai pasak.

Pedang: Perjuangan bangunkan umat masih belum selesai. Ayuh kita bangkit tegakkan Islam di negara tercinta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button