Berita Utama

Kemerdekaan perlu diisi dengan acuan Islam

Perlu faham erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah

BANGI, 3 Safar 1444H, Rabu – Kemerdekaan di negara ini perlu diisi dengan acuan Islam ke arah melahirkan bangsa yang hebat dan berjaya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, erti kemerdekaan sebenar adalah perjuangan membebaskan pemikiran umat daripada pengaruh ajaran dan budaya negatif yang merosakkan selama ini.

Katanya, Islam membawa mesej kesejahteraan kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

“Prinsip tiada paksaan dalam beragama dan adil untuk semua menjadi prinsip teras untuk mengisi kemerdekaan dalam kehidupan bermasyarakat madani di negara ini,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan 2022 hari ini.

Atas dasar itu, katanya, semua rakyat perlu teguh bersama-sama dalam memperkasakan Islam supaya konsep Islam memimpin dapat dicapai.

Katanya, ini sekali gus menghasilkan kemerdekaan yang menonjolkan rahmat Islam untuk seluruh masyarakat majmuk di negara tercinta ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata, agenda tersebut perlu digerakkan semua pihak dengan bersungguh-sungguh bagi membuktikan Islam menerima segala yang positif daripada semua bangsa di negara ini.

Katanya, sejarah kemerdekaan bermula dengan perjuangan menentang para penjajah yang datang ke tanah air pada 1511 dan sepanjang tempoh itu, umat Islam tidak pernah sekali-kali menyerah kalah.

Malah, penjajah yang datang bukan sahaja menakluk negara, tetapi juga turut memperhamba rakyat, mengangkut hasil bumi dan merosakkan pemikiran masyarakat.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menggesa rakyat memahami erti kemerdekaan daripada sudut kefahaman yang betul dan gambaran besar, bukan sekadar memahami kemerdekaan penjajah sudah pulang ke bumi mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button