Berita Utama

Semua pihak perlu terbuka jika wujud kerajaan campuran selepas PRU15: Mohd Amar

Tanpa gabungan parti-parti lain, pembentukan kerajaan sukar berlaku

KOTA BHARU, 3 Safar 1444H, Rabu – Meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka berlangsung tidak lama lagi, namun keadaan semasa memberi cerminan bahawa bakal terjadi kesukaran untuk membentuk kerajaan baharu.

Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berpandukan kepada situasi politik semasa, ditambah dengan kehadiran beberapa parti baharu dilihat tiada pihak yang mampu menjadi dominan.

Beliau berkata, tanpa gabungan atau sokongan daripada parti-parti lain yang bertanding, pembentukan kerajaan dilihat sukar berlaku.

“Jadi untuk membentuk kerajaan semua pihak perlu mendapat sokongan daripada parti lain. Oleh yang demikian semua pihak perlu terbuka jika wujudnya kerajaan campuran selepas ini (PRU15).

“Dari segi cara pembentukan, perlu menunggu selepas PRU15,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Padang Majlis Daerah Ketereh, di sini, hari ini.

Pun begitu, beliau berkata, kemungkinan andaian itu berlaku atau sebaliknya hanya boleh diketahui selepas PRU15.

Katanya, buat masa ini PAS lebih selesa memberikan fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat daripada bercakap soal politik.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan PRU15 adalah pilihan raya paling sukar buat semua parti yang bertanding.

Beliau juga menjangkakan tidak ada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dalam PRU15 nanti.

Malah, katanya, PRU15 juga mungkin tidak akan membuahkan hasil yang baik memandangkan tidak ada satu parti pun mampu menubuhkan kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button