Berita Utama

Kawal, adakan garis panduan aktiviti kebudayaan, kesenian

Masih ada kalangan yang terus berusaha hakis jati diri rakyat Malaysia

GEORGE TOWN, 4 Safar 1444H, Khamis – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta pihak berkuasa mengawal dan mengadakan garis panduan tertentu bagi aktiviti kebudayaan serta kesenian yang diadakan di negara ini.

Beliau berkata, ia perlu supaya aktiviti tersebut tidak menyimpang daripada ajaran agama, nilai murni dan budaya ketimuran.

“Golongan yang tersilau dengan kegemerlapan tamadun Barat sering cuba menampilkan budaya asing untuk disogok kepada rakyat negara ini terutama generasi baharu sebagai sasaran utamanya.

“Dengan mengundang artis Barat terutama yang diketahui pendiriannya yang menyokong budaya songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan satu dorongan dan rangsangan yang kuat kepada penyelewengan akhlak khususnya dalam kalangan anak-anak muda.

“Seterusnya situasi ini juga akan mengheret mereka ke arah melakukan jenayah, keganasan dan penagihan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Salim berkata, amat dikesali ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65, masih ada kalangan yang terus berusaha menghakis jati diri rakyat Malaysia yang bersendikan ajaran agama, nilai akhlak dan tradisi ketimuran.

Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berpendirian penganjuran konsert yang merosakkan tidak perlu diadakan di negara ini kerana sekiranya hiburan tanpa batasan menjadi budaya, ia akan membawa kepada pembinaan generasi yang pincang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button