
BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – PAS tidak sesekali mengetepikan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu melakukan pengorbanan besar untuk mereka terus kekal menjadi kerajaan hari ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya akan memperkukuh gagasan Perikatan Nasional (PN) sebagai platform bagi menghadapi PRU15.
“Terdapat beberapa kerusi Parlimen yang masih kekal perlu dibincangkan dengan parti lain yang tidak ekstrem bagi mengelak kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita (Bersatu) yang keluar daripada PH, kita sedar, betapa besar perjuangan dan pengorbanan mereka.
“Sebab itu bagi kita apa jua muafakat politik, kita tidak boleh ketepikan rakan kita dari Bersatu, tanpa mereka UMNO pun tak mungkin duduk dalam kerajaan hari ini.
“Tak akan tiba-tiba menang jadi kerajaan, nak ketepi rakan-rakan kita waktu susah senang dalam menghadapi situasi ini.,” katanya seperti dilapor Utusan.
Tuan Ibrahim menjelaskan PAS kini melalui PN tidak takut untuk menghadapi PRU15 dan bersedia berdepan apa jua situasi yang mendatang pada pilihan raya berkenaan.
Kita terbuka jika orang ingin berbincang dan berunding (dan) kita sedia bertempur dalam semua situasi kalau sekiranya itu menjadi pilihan, katanya.