Berita Utama

Pemuda BERJASA syor perkasa industri hiburan alternatif

Kaji semula akta hiburan agar boleh dijadikan sempadan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Meskipun hiburan dilihat sebagai keperluan, ia tetap perlu berada dalam lingkungan adab dan tatacara yang terkawal selagi tidak melampaui batas syarak dan pergaulan bebas.

Atas dasar itu, Pemuda BERJASA menyarankan kerajaan serta pihak yang berkenaan untuk mengkaji semula akta hiburan agar boleh dijadikan sempadan.

Ketua Pemudanya, Ustaz Fahmi Bazlan menjelaskan, langkah itu bukanlah bersifat menyekat sebaliknya menapis apa-apa yang berkaitan dengan hiburan.

“Saya bersetuju untuk menapis bukan menyekat.

“Realiti hari ini dunia tanpa sempadan. Masyarakat belia dan remaja di Malaysia lebih mengenali Billie Eilish berbanding perdana menteri mereka sendiri.

“Pengaruh dunia hiburan yang mengisi kekosongan jiwa anak-anak muda hari ini, sepatutnya difikirkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukti filem Mat Kilau sudah pun memadai bagaimana kekosongan itu berjaya diisi.

Walaupun masih dibelenggu dengan pelbagai reaksi dan kekurangan, ia memberi impak besar bahawa hiburan bermanfaat yang mendidik jiwa jika diolah mengikut trend dan teknologi hiburan terkini mampu bersaing dengan hiburan yang dibawa masuk dari luar – yang sudah tentu tiada identiti nasional dan adat ketimuran.

Justeru, Ustaz Fahmi mencadangkan agar semua pihak segera memperkasa dan menyokong industri hiburan alternatif.

“Mungkin suatu hari nanti kita boleh berbangga dengan budaya hiburan tempatan dan menjadi artist jemputan ke seluruh pelusuk dunia. Bukan sesuatu yang mustahil sebenarnya.

“Secara tidak langsung Malaysia berjaya membawa nama dan naratif tersendiri terhadap hiburan.

“Walaupun tugas ini agak rumit namun kita memiliki tenaga dan keupayaan itu, tetapi memilih untuk malas dan tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan menolak pandangan ‘populis melampau’ daripada Pemuda PAS yang menggesa menghentikan konsert diadakan di Malaysia.

Zaidel berkata, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antara banyak industri yang terkesan industri pelancongan dan penganjuran acara merupakan sektor yang paling terjejas teruk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button