Rejim haram mengganas tembak kejam dua pemuda Palestin
Jumlah penduduk dibunuh meningkat kepada 140 orang

RAMALLAH, 4 Safar 1444H, Khamis – Tentera negara pengganas Israel membunuh dua lelaki Palestin ketika dua serbuan berasingan di Tebing Barat yang diduduki
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dua lelaki itu dikenal pasti sebagai Samer Khaled, 25, dari kem pelarian al-Ain di Nablus dan Yazan Affaneh, 26, di Umm al-Sharayet – kawasan kejiranan di selatan Ramallah dan el-Bireh.
Khaled terbunuh kira-kira jam 5 pagi (02:00 GMT) pada Khamis selepas konfrontasi tercetus dengan tentera Israel ketika serbuan ke atas kem pelarian Balata di Nablus.
Tentera rejim haram bagaimanapun tidak mengulas mengenai pembunuhan itu namun berkata, anggotanya telah beroperasi di kem Balata dan menangkap suspek ‘dikehendaki’.
“Ketika operasi itu, pasukan bertindak balas dengan melepaskan tembakan selepas satu tembakan dilepaskan ke arah mereka,” dakwanya di Twitter.
Tentera Israel membunuh Affaneh kira-kira sejam kemudian, ketika konfrontasi yang tercetus berikutan serbuan ke atas Umm al-Sharayet.
Tentera berkata, mereka mempunyai maklumat mengenai dakwaan seorang warga Palestin terbunuh.
Jurucakap tentera berkata, mereka telah menjalankan operasi di el-Bireh dan ‘merampas dana yang disyaki untuk keganasan’.
Dakwanya, pasukan tentera diserang dengan batu dan bom molotov sehingga mereka terpaksa membalas dengan menggunakan ‘peralatan untuk menyuraikan rusuhan’.
Kementerian Kesihatan berkata, pembunuhan itu telah meningkatkan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki sejak awal tahun ini kepada 140 orang.
Tentera Israel menyerbu bandar Palestin di Tebing Barat yang diduduki hampir setiap hari, yang sering mengakibatkan pembunuhan atau kecederaan penduduk Palestin ketika konfrontasi atau pertempuran bersenjata. – Agensi