Sokong PAS runding 27 kerusi kritikal dengan UMNO
Sebahagian semangat Muafakat Nasional yang perlu dihidupkan

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyokong hasrat PAS meneruskan rundingan bersama UMNO dalam menentukan 27 kerusi ‘kritikal’ bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, saranan berkenaan sebahagian semangat Muafakat Nasional (MN) yang perlu dihidupkan.
“Saya sangat menyokong saranan YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berunding kerusi-kerusi berisiko ini.
“Pada kerusi yang pilihan utamanya ialah antara PAS dan UMNO sahaja seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah boleh berlangsung persaingan politik yang sihat ala pertandingan adik beradik bagi menghidupkan demokrasi. Ia adil untuk semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, ia juga sebahagian semangat MN.
“Semua pilihan-pilihan tersebut telah ada dalam perbincangan MN sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 27 kerusi kritikal itu merupakan kerusi yang pernah dimiliki PAS dan UMNO, namun kini merupakan milik Pakatan Harapan (PH).
“Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu duduk bersama, ada 27 kerusi yang kita rasa kritikal jika bertembung.
“PAS terbuka dalam hal ini dan melihat kepentingan pada masa hadapan serta bersedia dalam semua situasi. Jika PN dan BN bertembung pada 27 kerusi ini, kedua-duanya akan rugi,” katanya.