Dunia

Banjir Pakistan: WHO beri amaran risiko kesihatan lain

Klasifikasi banjir terburuk sebagai kecemasan tahap 3

GENEVA, 4 Safar 1444H, Khamis – Penduduk di Pakistan berisiko terdedah kepada masalah kesihatan lain yang lebih membahayakan berikutan banjir buruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap ancaman penyebaran malaria, demam denggi serta penyakit bawaan air dan vektor lain.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi PBB telah mengklasifikasikan situasi itu sebagai kecemasan tahap tiga, di mana memerlukan kerjasama tiga peringkat organisasi iaitu pejabat negara dan serantau serta ibu pejabat di Geneva.

“Banjir di Pakistan, kemarau dan kebuluran di Afrika dan taufan yang lebih kuat di Pasifik serta Caribbean semuanya menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan terhadap ancaman perubahan iklim yang wujud,” katanya dalam taklimat di ibu pejabat WHO.

Lebih 33 juta penduduk di Pakistan dan tiga perempat daripada semua daerah terjejas akibat banjir, yang disebabkan oleh hujan monsun.

Sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh dan 1,500 cedera, menurut WHO yang memetik pihak berkuasa negara.

Hampir 900 kemudahan kesihatan di seluruh negara telah rosak, di mana 180 daripadanya rosak sepenuhnya.

Kerajaan telah mengisytiharkan darurat dan PBB juga melancarkan sumbangan AS$160 juta untuk membantu Pakistan.

Tedros juga mengeluarkan sejumlah AS$10 juta daripada dana kecemasan WHO untuk menyokong tindak balas itu.

Agensi PBB telah menjalankan penilaian awal yang mendedahkan bahawa tahap kemusnahan semasa adalah lebih teruk berbanding banjir sebelumnya, termasuk yang memusnahkan negara pada 2010.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button