Berita UtamaIstimewa

Isu 1.2 juta pelancong China ‘hilang’ bom jangka pada negara

Kerajaan, agensi penguatkuasa perlu ambil perhatian serius

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Kehilangan kira-kira 1.2 juta pelancong warga China yang didakwa tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu dianggap sebagai ‘bom jangka’ kepada negara.

Meskipun angka itu didakwa tidak tepat, keberadaan mereka tetap mengundang risiko terhadap keselamatan nasional.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya akan memberi penjelasan semula berhubung isu lebih 1.2 juta rakyat China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

“Jumlah itu tidak betul. Kita akan betulkan untuk memperbaiki persepsi yang salah,” katanya.

Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 iaitu kurang 1,222,278 orang berbanding jumlah yang masuk.

Mengulas isu ini, pemerhati politik antarabangsa, Prof Dr Azmi Hassan berkata, apa jua situasi, ia bukan sahaja mendatangkan masalah kepada rakyat, bahkan juga terhadap warga asing yang berada di Malaysia secara sah.

Justeru, kerajaan dan agensi penguatkuasaan perlu mengambil perhatian serius terhadap sejumlah besar warga China yang didakwa tidak keluar dari Malaysia seperti dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Ini agak membimbangkan kerana satu juta lebih itu adalah begitu ramai dan tidak dinafikan juga, pelancong China yang datang ke Malaysia dan tidak keluar ini, mereka bekerja di sini.

“Bukan sahaja warga China yang perlu diberi perhatian, tetapi juga pelancong-pelancong daripada negara lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, selain ada warga China yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh had masa, terdapat juga warga asing lain yang perlu diberi perhatian seperti Bangladesh, Rohingya dan Indonesia.

“Kerana dalam keadaan mereka berada dalam keadaan yang tidak sah, maka apa juga pekerjaan yang mereka lakukan juga dikatakan tidak sah dan ini boleh memudaratkan keselamatan negara.

“Ia juga boleh dikatakan menghalang warga tempatan bekerja sedangkan mereka boleh menawarkan diri mereka dengan harga buruh atau harga upaya yang lebih murah,” katanya.

Dr Azmi berkata, dalam hal ini, kekuatan politik amat diperlukan daripada kementerian serta agensi terlibat, selain melaksanakan operasi secara besar-besaran mengesan ‘kehilangan’ jutaan pelancong berkenaan.

“Ia memerlukan ketangkasan pihak imigresen umpamanya dalam menangani isu ini.

“Jadi, kerjasama di antara imigresen, PDRM dan banyak lagi agensi-agensi kerajaan diperlukan kerana isu ini perlu diselesaikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button