Berita Utama

Kesan penjajahan masih terasa hingga sekarang

Perlukan perubahan untuk bentuk negara ikut acuan sendiri

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Selagi banyak sektor ‘dipegang’ pihak asing, selagi itu Malaysia belum anggap mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin berkata, orang Melayu kini hanya diberikan kuasa dalam pentadbiran negara sahaja, meskipun telah merdeka sepenuhnya daripada penjajah.

“Walaupun setiap tahun kita menyambut hari kemerdekaan, tetapi bukan semua hak kita diberikan, kita hanya ada kuasa untuk mentadbir sahaja.

“Antaranya dari segi keselamatan, kawalan politik, ekonomi bahkan elemen-elemen lain yang wujud sebelum 1957, sebenarnya masih kental sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Dimensi bertajuk Tanah Melayu sebelum dan selepas 1957 yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, kesan penjajahan di negara kita masih tebal walaupun negara mencapai kemerdekaan.

“Kemerdekaan yang kita capai hari ini bukan menggambarkan satu tahap kemerdekaan sepenuhnya dan mendapat hak seperti sebelum penjajahan.

“Hakikatnya kita kehilangan hak tersebut dan terima kesan penjajahan sehingga saat ini,” katanya.

Bahkan, katanya, kemerdekaan yang didiamkan tidak dibentuk dalam acuan yang dikehendaki.

Justeru, ia memerlukan perubahan segera demi membentuk negara dengan acuan sendiri selain dapat memajukan tanah air kita.

Pautan:
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/1260194661468475/?extid=CL-UNK-UNK-UNK-IOS_GK0T-GK1C-GK2T&ref=sharing

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button