Politik Malaysia dibimbangi jadi krisis seperti Israel: Amir ISMA
Rakyat tidak boleh lagi serah masa depan pada politikus musang berbulu ayam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman memberi amaran politik Malaysia boleh menjadi seperti krisis politik di negara haram Israel sekiranya tiada kesepakatan di antara parti-parti dalam negara.
Beliau menegaskan, keadaan kian meruncing apabila tiada mana-mana pakatan yang betul-betul mampu menjadi dominan dan menjanjikan politik stabil.
Melihat kepada senario itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, masa depan negara tidak boleh diletakkan kepada tanggungjawab politikus semata-mata.
“Umat Melayu patut faham kesan buruk daripada situasi politik sekarang dan akan datang. Mereka perlu bertanggungjawab mengubah keadaan.
“Kita tidak boleh serahkan masa depan kita kepada politikus-politikus musang berbulu ayam lagi.
“Konon kerja untuk rakyat tetapi sebanarnya kaut kekayaan negara untuk kepentingan sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, jika tiada kesedaran yang memadai daripada institusi umat itu sendiri maka negara akan terus diancam ketidakstabilan politik, kemerosotan ekonomi, kecelaruan sosial dan mungkin juga ancaman keselamatan
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) menegaskan keputusan untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad dan telah diputuskan sebulat suara.
Sementara PAS pula yang dahulunya memacu Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, kini adalah sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, Gerakan, Parti Progresif (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Bagaimanapun, PN masih mengalu-alukan penyertaan UMNO-BN.
Terbaharu, Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditubuhkan bersama beberapa parti— Pejuang, BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan pertubuhkan bukan kerajaan (NGO).
Dr Mahathir menyebut bahawa GTA sedia mengadakan perbincangan dengan PN mengenai kerjasama bagi menghadapi PRU15, tetapi beliau tidak tahu sama ada ia akan membuahkan hasil.