Zuhdi dakwa PH dikelilingi golongan pemberi rasuah
Perkasa hukum, Mahkamah Syariah lumpuhkan 'Industri Dosa dan Ekonomi Gelap'

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Tidak mustahil kegiatan ‘Industri Dosa dan Ekonomi Gelap’ lumpuh sekiranya hukum syariah didaulatkan dan Mahkamah Syariah diperkasakan.
Justeru, mahu tidak mahu, bagi pemain industri ini usul untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) mesti dihalang, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.
Beliau yakin, bagi menghalang pindaan RUU 355 ini, mereka bertenggek kepada parti-parti politik tertentu untuk menentang langkah yang diambil oleh PAS dengan menggunakan pelbagai alasan termasuklah alasan perkauman.
“Jelas sekali pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap ini amat memusuhi PAS. Bagaimanapun, mereka tidak berani untuk menonjolkan diri mereka di khalayak umum untuk berpolitik melawan PAS.
“Untuk menentang PAS dalam arena politik, mereka mengelilingi musuh politik utama PAS iaitu PH. Pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap inilah yang ramainya tergolong sebagai pemberi rasuah. Apabila Presiden PAS menyerang mereka, PH yang dikelilingi oleh mereka pun jadi kepanasan,” katanya dalam kenyataan.
Memetik artikel yang ditulis baru-baru ini oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai ‘Hapuskan Pemberi Rasuah’, beliau berkata, ia benar-benar membuatkan golongan pemberi rasuah seperti cacing kepanasan.
Mohd Zuhdi berkata, seperti yang dijangkakan, bukan sahaja golongan pemberi rasuah tersebut yang kepanasan, PH yang dikelilingi oleh golongan pemberi rasuah turut menerima bahang yang sama.
Oleh sebab itu katanya, pemimpin DAP yang paling awal menyerang tulisan Presiden PAS tersebut diikuti oleh juak-juak mereka.
“Secara jelas tulisan Presiden PAS tersebut menyebut, golongan pemberi rasuah ini majoritinya bukan Bumiputera. Sememangnya umum mengetahui pemberi rasuah lazimnya adalah dari golongan kaya dan saudagar perniagaan, atau istilah yang biasa digunakan ialah ‘tauke’.
“Golongan kaya dan saudagar perniagaan ini majoritinya adalah bukan Bumiputera. Bagaimanapun, bukanlah bermaksud semua golongan kaya dan saudagar perniagaan terlibat, sebaliknya segelintir dari mereka yang melakukannya.
“Seperti biasa, PH khususnya DAP akan memainkan isu ini menggunakan sentimen perkauman,” katanya.