Berita Utama

Dewan Ulama PAS lulus usul penyatuan ummah dengan UMNO dan Bersatu

Turut lulus usul tolak kerjasama dengan PH pada PRU15

YAN, 5 Safar 1444H, Jumaat – Dewan Ulama PAS Pusat hari ini meluluskan usul berkaitan agenda penyatuan ummah melalui kerjasama dengan UMNO serta Bersatu, dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul itu diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-61 dekat sini, dengan disokong majoriti daripada lebih 150 perwakilan yang hadir, sekali gus ia akan dibahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, mulai esok hingga Ahad ini.

Ketika membentangkan usul itu, perwakilan dari Dewan Ulama PAS Pusat Negeri Kelantan Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata ini kerana PAS memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan daripada Melayu atau Islam.

“Ini supaya kekuatan politik Melayu Islam dapat disatukan melalui agenda penyatuan ummah. Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksanakan bagi mengelak pertembungan sama sendiri antara parti-parti teras Melayu di kawasan pengundi Melayu atau Islam, supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.

“Seterusnya, mengukuhkan jumlah majoriti kerusi dalam kalangan Muslim yang menjadi gambaran kepada majoriti rakyat Malaysia yang diwakili oleh kaum Melayu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Kelantan itu.

Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button