Berita Utama

Jenayah hina Islam perbuatan durjana

Tiada harga seorang muslim jadikan agama sebagai komedi

BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Perbuatan berkomedi dengan hukum-hakam Islam, ayat-ayat al-Quran yang dihafaz, serta meremehkan perintah Allah SWT jelas sekali menghina agama.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi khutbah Jumaat berkata, menjadikan agama Islam dan Allah SWT serta Nabi Muhammad ﷺ sebagai bahan jenaka, komedi dan bahan olok-olok yang mempersendakan termasuk dalam larangan dan perlu dipandang serius oleh semua umat Islam.

“Apabila ada seseorang yang dengan terang-terang menjadikan agama sebagai komedi dengan mengolok-olok ajaran Islam, merendahkan al-Quran seolah-olah tidak ada harga baginya walaupun seorang muslim.

“… menganggap remeh dengan hukum-hakam Islam, secara terang-terang menghina agama Islam dengan berbagai kalimah penghinaan dan mencaci agama yang suci ini, maka ia jelas termasuk dalam jenayah penghinaan agama Islam.

“Termasuklah dalam kategori ini perbuatan menghina Nabi Muhammad ﷺ, iaitu Nabi terakhir, Nabi umat Islam, makhluk termulia di sisi Allah SWT. Ucapan seperti menyamakan Baginda ﷺ dengan perumpamaan atau kata-kata yang jelek dan negatif adalah jelas sebagai penghinaan terhadap Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad ﷺ,” katanya.

JAIS menegaskan bahawa perbuatan jenayah ini juga adalah menyakiti umat Islam di seluruh negeri atau negara bahkan dunia.

Katanya, perbuatan durjana ini adalah termasuk dalam jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor tahun 1995, Seksyen 10 mengenai menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

“Berdasarkan hukum syarak dan perundangan di negeri Selangor ini, khatib ingin menegaskan kepada segenap rakyat agar senantiasa menghormati hukum syarak, keputusan fatwa dan undang-undang yang diwartakan di negeri ini.

“Mimbar juga mengingatkan kepada segenap hadirin yang dimuliakan, agar senantiasa bertindak mengikut undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button