Berita Utama

Mansuh hukuman mati mandatori tidak jejas tugas polis

Penguatkuasaan masih berjalan seperti biasa

BALING, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak akan memberi kesan terhadap tugas polis dalam melaksanakan penguatkuasaan terutama membabitkan jenayah berat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menyokong langkah itu dan menegaskan penguatkuasaan polis dan siasatan semua jenis kes termasuk jenayah berat berjalan seperti biasa.

“Kita, polis sendiri pun memikirkan bahawa mungkin ada baiknya jika ada kelonggaran dari segi hukuman mati mandatori ini. Sebab kalau kita nak mengambil sesuatu tindakan itu kadang-kadang ada bukti tapi ia ‘on a thin line’.

“Hukuman mati masih lagi ada, cuma kalau ada satu-satu kesalahan, biarlah hakim yang menentukan sama ada orang itu harus diberikan hukuman gantung ataupun hukuman penjara seumur hidup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menghadiri majlis Kenduri Raya Bersatu Baling yang turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Hamzah diminta mengulas sama ada pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan kerajaan semalam, akan memberi sebarang implikasi terhadap tugas polis dalam membanteras kes jenayah berat yang membabitkan hukuman mati mandatori sebelum ini.

Ditanya sama ada langkah itu akan meningkatkan kadar jenayah berat di negara ini, Hamzah menyangkal andaian itu kerana hukuman mati masih ada dan penguatkuasaan polis masih berjalan seperti biasa.

“Bila adanya kelonggaran ini, ia memberi ruang untuk hakim memikirkan tanggungjawab dia. Kerana dia sebagai hakim yang benar-benar tahu dan beliau yang mendengar masalah-masalah dalam mahkamah, bukti yang dikemukakan di mahkamah, jadi biarlah dia yang tentukan,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Wan Junaidi berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button