Berita Utama

KSM tidak kompromi kekerasan, penindasan terhadap pekerja

Tanpa mengira warga tempatan mahupun warga asing

KUALA LUMPUR, 5 Safar 1444H, Jumaat – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan majikan terhadap pekerja tanpa mengira warga tempatan mahupun warga asing.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa.

“Mulai sekarang, KSM tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ia masih dalam peringkat siasatan.

“Saya percaya dengan usaha ini, para majikan akan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini yang dikeluarkan susulan laporan kes mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang tidak dibayar gaji selain didera majikan.

Saravanan dalam pada itu turut mengingatkan para majikan untuk tidak bertindak di luar batas kemanusiaan terhadap pekerja mereka.

Mengenai kes berkenaan, Saravanan berkata mangsa kini sedang dirawat di Hospital Selayang dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah diarahkan untuk menyiasat mengenai perkara itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja pada 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button