Mahasiswa layak akan terima Peranti Siswa esok
Penerima bakal dapat tablet Samsung model terkini: Annuar Musa

BANGI, 5 Safar 1444H, Jumaat – Mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang layak akan menerima tablet melalui inisiatif Peranti Siswa mulai esok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, agihan itu akan dibuat dalam satu majlis rasmi yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, majlis itu akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam jam 2.30 petang esok.
“InsyaAllah esok Peranti Siswa mula diedarkan kepada para mahasiswa IPTA dan IPTS.
“Setiap penerima bakal mendapat tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing, keyboard dan stylus pen. Tahniah kepada yang terpilih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Annuar mengumumkan 400,000 mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) layak menerima peranti jenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE menerusi fasa pertama program itu.
Beliau berkata, agihan fasa kedua dijangka pada Oktober atau November depan memandangkan permohonan bagi fasa itu sedang dibuka mulai 1 Ogos lalu hingga 30 September ini.